Generasi Mudah Harus Ada Semangat Patriotik

"Pemuda Harapan Bangsa". Itulah yang kita sering dengar semasa kita berada di bangku sekolah.Rata-rata media seperti televisyen banyak menjenamakan slogan-slogan sebegini.Namun, persoalannya dimanakah penghayatan nilai ini sebenarnya.Saat ini semangat cintakan tanah air dan rela berkorban demi bangsa dan negara pada remaja dan generasi muda di negara Malaysia yang kita cintai dipersoalkan.

Institusi pendidikan dikatakan kurang mengambil peranan dalam memotivasi generasi penerus untuk membangun negara menjadi negara maju.Saya sendiri menyifatkan perkara ini berlaku disebabkan wujudnya masalah dari segi sistem pendidikan, pedagogi dan nilai penghayatan dalam diri setiap insan.Hal ini didorong juga oleh sikap tidak acuh segelintir pihak terhadap perkara ini.

Kebelakangan ini, media pula dipersoalkan kerana hanya mengejar keuntungan semata-mata dengan berita sensasi, politik keterlaluan, tanpa melihat faktor pendidikan dan impaknya bagi generasi muda.Saya juga melihat kebanyakkan tayangan di tv menampilkan negara yang berbeza dengan kenyataan dunia sebenarnya. Media alternatif pula terlalu rakus mensensasikan berita tanpa menyedari kesannya kepada generasi muda.Kesannya remaja seakan-akan bosan dan mengambil jalan lain bagi memenuhi selera mereka yang hampir tidak dipedulikan.

Sebenarnya inilah pandangan generasi muda pada masa sekarang.Kesannya lagi, lihat saja sebahagian generasi muda kita yang sangat menggemari dan mengagung-agungkan produk-produk asing dan budaya asing.Inilah yang dinamakan penjajahan terbaru daripada pihak terutama dalam menguasi minda par generasi muda.Boleh dikatakan sebahagian besar hanya mementingkan diri sendiri, tanpa mempedulikan isu semasa, kemajuan bangsa dan tidak menghormati generasi terdahulu yang telah bersusah payah memperjuangkan kemerdekaan yang dinikmati sekarang ini.Adakah generasi seperti ini negara kita perlukan???..Ataupun masih adakah jalan untuk membantu memupuk kembali semangat patriotik dalam diri anak muda negara kita.

Seperti mana yang kita tahu, semangat cintakan negara atau patriotisme adalah suatu fitrah kepada manusia. Semangat cintakan negara adalah sesuatu yang dituntut oleh agama. Ia mendidik hati supaya ada rasa ketaatan dan kepatuhan terhadap negara tempat lahir dan membesar.Dan ini akan menguatkan lagi jati diri hidup kita.Seharusnya sebagai salah seorang generasi muda, kita harus meneliti setiap persoalan begini.Kesinambungan dari itu, semangat cintakan negara amat penting dipupuk dan disuburkan di kalangan remaja supaya dewasanya nanti mempunyai semangat kecintaan yang tinggi terhadap negara. Memupuk semangat cintakan negara bagi remaja mestilah atas asas apa yang boleh kita lakukan untuk sama-sama terlibat dalam membangun dan memajukan negara.

Tambahan pula, Islam meletakkan pembinaan diri, keluarga dan masyarakat sebagai asas kepada pembinaan dan penjanaan kemajuan negara. Nilai-nilai yang baik dan murni mestilah bergerak seiring dengan pembangunan yang mengisi kemerdekaan.Perkembangan sebeginilah yang kita harapkan agar dapat diteladani oleh generasi anak-anak muda.Bayangkan para remaja yang tidak mempersiapkan diri menghadapi cabaran yang menunggu di hadapan, kehadiran remaja itu tidak menyumbang apa-apa untuk negara. Ia menandakan rasa cinta kepada negara tidak ada.

Kasih dan sayang kepada negara diukur dengan sumbangan yang diberi. Contohnya kalau kita kasih kepada ibu dan ayah sudah tentu kita menyumbang kepada keluarga. Kasih kepada kekasih, sudah tentu ada kesediaan untuk kita berkorban. Tidak mungkin ukuran kasih hanya pada kata-kata dan semangat untuk merayakan kemerdekaan sahaja. Oleh itu remaja harus melengkapkan diri untuk membantu mengisi erti kemerdekaan.Marilah kita bersama-sama renunginya.Kepada semua mahasiswa/i IPT, gunakan semaksimum mungkin peluang untuk menyemai semangat patriotik dalam diri.Kitalah pewaris kepimpinan negara.



MOHD ZULHUSNI BIN ZULKIPLI
Yang Dipertua
Sekretariat Rukun Negara
Universiti Pendidikan Sultan Idris