SUKMA UNTUK KANAK-KANAK

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang menganjurkan Sukan Malaysia peringkat Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) yang dikenali "Kids Sukma" bermula tahun depan bagi mencungkil bakat sukan dari peringkat awal.


Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, strategi mengasah bakat sukan dari peringkat awal kanak-kanak mampu membentuk bakat sukan memandangkan Malaysia masih kekurangan atlet berbakat bertaraf dunia.


Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pelajaran bagi menetapkan hala tuju program berkenaan.


"Banyak negara besar dalam bidang sukan seperti China telah memulakan pencarian bakat sukan sejak atlet masih kecil kerana ia mudah dibentuk dan diasuh menjadi seorang jaguh sukan bertaraf dunia," katanya ketika berucap merasmikan Hari Graduasi Kanak-Kanak Tabika Kemas Daerah Bera 2008 di sini, Sabtu.


Katanya, melalui penganjuran Kids Sukma itu, kanak-kanak akan didedahkan dengan sukan popular seperti bola sepak, badminton, olahraga serta sukaneka bagi menambah variasi pertandingan itu.


Ismail Sabri berkata, Malaysia terbukti mampu melahirkan beberapa atlet berbakat besar dan bertaraf dunia seperti Datuk Nicol David dan Datuk Misbun Sidek, jika mempunyai kemahuan tinggi serta strategi yang tepat.


Bagaimanapun, beliau berkata usaha KBS untuk menonjolkan budaya sukan di kalangan kanak-kanak perlu mendapat sokongan ibu bapa kerana sejarah membuktikan pembabitan aktif mereka mendidik anak dalam bidang sukan boleh mempengaruhi usaha melahirkan atlet bertaraf dunia dalam sukan terbabit.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM100 juta kepada KBS bagi projek pembangunan belia pada tahun depan.


Beliau berkata, peruntukan itu adalah bagi melaksanakan program latihan, kursus serta program Rakan Muda secara lebih intensif dan menyeluruh membabitkan belia di kawasan kampung baru Cina, perkampungan Orang Asli, kawasan perladangan dan luar bandar.
Katanya peruntukan itu bertambah tiga kali ganda berbanding peruntukan RM36 juta tahun ini bagi projek pembangunan belia.