Perdana Menteri Bukan MELAYU..boleh ke??

Kemenangan calon Demokrat Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 bukan hanya disambut di negara `Uncle Sam' kerana mencatat sejarah tersendiri tetapi turut menjadi bahan politik di negara ini.

Kemenangan Obama rakyat kulit hitam pertama daripada kumpulan minoriti di Amerika Syarikat telah mencetuskan analisa politik di kalangan pihak tertentu di negara ini sehingga ada suara pemimpin bukan Melayu yang mahukan bukan Melayu diberi peluang menjadi Perdana Menteri di negara ini.

Mereka ini berpendapat Amerika Syarikat telah menunjukkan kepada dunia bahawa kaum minoriti mempunyai peluang bersaing dengan kumpulan majoriti malah telah mengatasi halangan besar bagi memenangi jawatan tertinggi negara itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menganggap kejayaan Obama seorang kulit hitam sebagai Presiden Amerika Syarikat seharusnya mengubah sikap kalangan pemimpin UMNO agar menerima hakikat Perlembagaan membenarkan orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri negara ini.

"UMNO telah menafikan peruntukan Perlembagaan yang membenarkan sesiapa sahaja warganegara Malaysia untuk menjadi Perdana Menteri," katanya ketika mengulas isu ini.

Persoalannya, apakah Pas yang diterajui oleh Hadi Awang dan PKR oleh Anwar Ibrahim boleh menerima Kit Siang sebagai Perdana Menteri?

Bolehkah Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sebagai addin bersekongkol menerima bukan Islam sebagai Perdana Menteri?

Sebelum ini Hadi Awang telah membuat kenyataan akan menerima sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri asalkan pemimpin itu adalah Melayu dan beragama Islam.

Begitu juga dengan Anwar, apakah nanti beliau boleh menerima Penasihat DAP itu sebagai Perdana Menteri walhal beliau telah `berkorban' sejak sekian lama masuk penjara semata-mata mengidam jawatan tertinggi dalam kerajaan itu?

Hakikatnya seperti yang diakui oleh Kit Siang, UMNO yang menjadi tunggak kekuatan orang Melayu di negara ini adalah penghalang kepada cita-cita bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri.

Sebagai parti politik terbesar orang Melayu, UMNO dilihat sebagai benteng terakhir orang Melayu untuk mempertahan dan mengangkat martabat Islam di negara ini daripada diperkotak katik oleh pihak-pihak tertentu yang mula mempertikai hak dan keistimewaan Melayu di negara ini.

Apalah yang diharapkan kepada PKR baru sahaja berkuasa hak dan kepentingan Melayu hendak diperdagangkan demi survival politik manakala Pas kononnya memperjuangkan Islam sebagai addin tetapi bersekongkol dengan DAP yang terang terang menolak perjuangan Islam.

Selagi ada UMNO yang menjadi tunggak dan mewakili orang Melayu terbesar di negara ini jangan harap kaum minoriti mengidam jawatan Perdana Menteri.